Selasa, 20 Disember 2011

Selamat Menyambut Hari Kelahiran buat Tun Dr Mahathir



Buat Tun Dr Mahathir Mohamad Selamat Ulang Tahun kelahiran yang ke 86 tahun. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang dan juga dirahmati Allah Swt.

Terima Kasih kerana telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati dimata dunia. Jasamu tak mungkin akan dilupakan sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.


Sedikit Informasi tentang Tun Dr Mahathir

Pendidikan

Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan(9) orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.


Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain. Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan kelulusan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya, Singapura. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.



Perkahwinan

Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.



Kerjaya

Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat. Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970.



Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang teguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society.



Penglibatan Politik

Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat dalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya. Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara. Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.



Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya Council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding. Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau memberi peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Kementerian Pendidikan.



Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau. Pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun. Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing. Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" atas perjuangannya yang tidak mengenal lelah untuk memartabatkan Malaysia ke arah Wawasan 2020 dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003 iaitu selama 22 tahun.



Pencapaian dan Sumbangan

Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut. Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu 'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara. Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.



Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan nilai matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun. Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebanan kewangan kerajaan diantaranya Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Telekom telah disenaraikan sebagai korporat awam.

Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat seperti penubuhan industri otomotif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Usaha beliau ke arah meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB. Masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal. Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.



Dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi. Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) hasil cetusan beliau ialah Koridor Raya Multimedia [Multimedia Super Corridor (MSC)]. Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan. Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa pentadbiran beliau antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Bukit Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij Formula One dan Menara Berkembar Petronas(KLCC).

Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia. Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia.

P/S: Tun digeruni zionis dan dituduh anti semitik iaitu anti yahudi..

2 ulasan:

  1. Mautnya semakin dekat.. Tahniah Tun.. semoga usiamu cepat berlalu..

    BalasPadam
  2. Maut tak mengenal sesiapa tua atau pun muda

    BalasPadam