Isnin, 18 Jun 2012

Projek Lynas , Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen beri lampu hijau

Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengesyorkan agar lesen Kelas A iaitu mengilang peringkat pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan supaya projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan, Pahang dapat beroperasi.
Bagaimanapun PSC menegaskan, di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang lazim dan syarat-syarat tambahan yang telah dikenakan di dalam lesen TOL ini.

"Data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya," kata laporan PSC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam laporannya, PSC juga berkata, pihaknya berpuas hati bahawa berdasarkan fakta-fakta saintifik, takrifan undang-undang dan maklumat yang diperolehi daripada pakar-pakar, projek LAMP adalah merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

Selain itu, PSC juga mendapati projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju.

"Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa.

Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa.
"Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah menyediakan sistem kawalan yang diperlukan seperti yang telah ditetapkan di dalam perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar untuk kilang beroperasi sementara," kata laporan PSC di bahagian rumusan.

Sehubungan itu, PSC mengesyorkan satu jawatankuasa pemantauan dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.

Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan dan pakar bertauliah.

Ia juga mengesyorkan supaya kesemua 31 syor yang telah dikemukakan ini dilaksanakan sewajarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan