Isu curi pasir kembali menghangatkan politik dan pentadbiran negeri Selangor yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Isu itu dibangkitkan oleh pengendali laman blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Suhaimi Shafie bersama ADun Batu Caves, Amiruddin Shaari didakwa terlibat dengan skandal pasir. Isu penyelewengan pasir ini bukan baru kerana pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar dari PKR, S Manikavasagam, dua tahun lalu atas dakwaan yang sama melinatkkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB).
Selasa lalu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa pihaknya mempunyai dokumen serta bukti kukuh bagi membuktikan kegiatan penyelewengan pasir itu sememangnya berlaku. Menurut beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan segala bukti dan dokumen tersebut apabila tiba masanya nanti.
Pada sidang media, Abdul Khalid mahu Noh memberikan maklumat mengenai dakwaan itu kepada Transparency International (TI) dan KSSB. Pada masa yang sama, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan pendirian tidak akan menerima cadangan Abdul Khalid itu dan menuntut Kerajaan Negeri mengadakan perbicaraan terbuka. Ikuti penjelelasan Noh mengenai isu tersebut.
Kerajaan Negeri mahu tubuhkan panel penyiasat untuk menyiasat penyelewengan pasir di negeri ini tetapi kenapa Datuk Seri mahu perbicaraan secara terbuka?
NOH: Isu penyelewengan pasir bukan isu baru yang sengaja ditimbulkan. Sebelum Raja Petra, seorang wakil rakyat dari PKR, S Manikavasagam pernah membangkitkan isu yang sama yang membabitkan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri, KSSB.
Malah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) juga pernah menjalankan perbicaraan berhubung isu pasir ini. Ekoran dakwaan tersebut, kerajaan negeri mengadakan sesi pendengaran awam Selcat pada tahun 2010. Tetapi saya difahamkan, sudah satu tahun lebih isu berkenaan masih lagi tergantung dan tidak ada sebarang kata putus.
Jadi, kita pertikaikan mengapa keadaan ini berlaku. Kerajaan Negeri tubuhkan Selcat kononnya atas dasar ketelusan. Tetapi kenapa pendengaran awam mengenai dakwaan penyelewengan pasir dua tahun lalu masih tergantung, senyap begitu sahaja. Jika begini keadaannya, Kerajaan Negeri seolah-olah mewujudkan Selcat itu hanya untuk menutup kelemahan mereka, untuk tujuan politik.
Kemungkinan tindakan menangguhkan Selcat itu adalah untuk menyekat Adun Barisan Nasional (BN) membangkitkan isu perlombongan pasir pada Sidang Dun. Selcat digunakan untuk menutup kelemahan Kerajaan Negeri. Contohnya, mana-mana kes termasuklah dakwaan penyelewengan pasir yang sedang dibicarakan oleh Selcat tidak boleh dibahas dan dibangkitkan dalam Dun.
Kalau perkara berkenaan tidak boleh dibangkitkan dalam Dun, di mana lagi tempat Adun-Adun nak bangkitkan? Sebab itu, saya lihat Selcat seolah-olah hanya untuk kepentingan politik sahaja. Kerajaan Negeri kemudiannya mahu tubuh panel penyiasat di bawah TI dan mahu saya kemukakan bukti. Kenapa saya perlu tampil dan kemuka bukti kepada TI sedangkan Kerajaan Negeri sendiri tidak meyakinkan rakyat bahawa ada tindakan selepas penyiasatan dilakukan.
Kerana itu saya cabar Kerajaan Negeri adakan ‘perbicaraan rakyat’ secara terbuka kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini. Saya bersedia untuk menghadiri perbicaraan itu dengan membawa segala bukti dan dokumen serta akuan bersumpah orang-orang terlibat. Pada saya, Kerajaan Negeri tidak jujur dan tidak telus kerana sehingga hari ini siasatan Selcat dibuat secara tertutup tidak pernah diumumkan keputusannya malah, berhenti separuh jalan!
Mengapa Datuk Seri enggan menyerahkan dokumen berkaitan kepada panel penyiasat?
NOH: Buat apa saya nak berikan maklumat yang saya ada kepada TI dan KSSB, siapa mereka ini? Kalau beri maklumat kepada orang yang didakwa, ia bukan satu tindakan yang bijak. Saya tunggu mahkamah rakyat sekiranya Abdul Khalid berani untuk sahut cabaran saya. Tetapi saya mahu Abdul Khalid memberikan jaminan bahawa tindakan akan diambil sekiranya saya berjaya membuktikan berlakunya rasuah dan penyelewengan dalam operasi perlombongan pasir yang dijalankan KSSB. Jika gagal membuktikan dakwaan itu, saya juga sedia mematuhi syarat yang dikemukakan Kerajaan Negeri. Persoalannya, apakah menteri besar berani letak jawatan atau pecat exco dan Adun yang terlibat atau tutup KKSB jika terbukti melakukan penyelewengan. Saya mahu perjanjian ini dibuat lebih awal. Terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menyatakan persetujuan dalam masa terdekat. Lagi cepat lagi bagus bagi memperjelaskan isu pasir ini kepada rakyat. Jangan cuba untuk menipu rakyat dengan ayat-ayat retorik sahaja kerana segala penyelewengan itu akan didedahkan.
Datuk Seri juga mendakwa menteri besar cuba membohongi Sultan Selangor dalam isu pasir ini?
NOH: Ketika mula-mula menyandang jawatan menteri besar pada 2009, Abdul Khalid dalam ucapan sulungnya menyasarkan perlombongan pasir di negeri itu boleh mencecah sekitar RM150 juta setahun. Tetapi akhirnya tak sampai pun RM15 juta. Ini kerana berlaku penyelewengan dalam urus tadbir KSSB. Ini membuktikan pemimpin PKR hanya pandai berkata-berkata tetapi gagal untuk melaksanakannya. Sebelum dapat memerintah negeri Selangor, macam-macam janji diberi. Tetapi apabila diberi peluang, mereka gagal untuk menunaikannya. Mereka hanya pandai berkata-kata dan memutar belit fakta. Itu mengenai pasir.
Semasa berucap sempena hari jadi Sultan Selangor tempoh hari, beliau mengumumkan kenaikan elaun guru KAFA menjadi RM1,300 sebulan. Tetapi langsung tak sebut pun daripada RM1,300 itu, cuma RM500 sahaja peruntukan datang daripada Kerajaan Negeri manakala baki RM800 lagi adalah daripada Kerajaan Persekutuan. Ini dinamakan lembu punya susu, sapi yang dapat nama.
Tetapi yang lebih penting, Kerajaan Negeri langsung tidak mengambil berat soal pendidikan anak-anak Selangor terutamanya mereka yang di luar bandar. Bila PKR memerintah mereka seperti tikus membaiki labu, bukan hendak membaiki tetapi menjahanamkan lagi struktur yang telah kita bina. Contohnya, mereka hendak robohkan asrama Yayasan Selangor yang banyak melahirkan cerdik pandai. Kerajaan BN dahulu menubuhkan Yayasan Selangor bagi membantu murid di luar bandar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Sekolah Berasrama Penuh mendapatkan kemudahan pendidikan lebih baik di sekolah ternama di Kuala Lumpur seperti SMK St John, Victoria Institution dan beberapa sekolah elit lain. Anak-anak Selangor yang mendapat tajaan Yayasan Selangor ditempatkan di Asrama Toh Puan Norashikin dan Tun Dr Ismail di Kampung Pandan tetapi apa yang menyedihkan kini adalah pihak pengurusan Yayasan Selangor mahu merobohkan asrama itu untuk membangunkan projek komersil. Sepatutnya sebuah UiTM juga dibina di Serendah tetapi kerana sikap ego Kerajaan Negeri, hak itu dinafikan. Sebaliknya rakyat negeri Melaka yang mendapat untung apabila UiTM dipindahkan ke negeri itu.
Apakah pelbagai inisiatif diberikan Kerajaan Pusat mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap BN?
NOH: Hakikatnya sepanjang 55 tahun memerintah, BN telah banyak menyalurkan bantuan sebagai satu usaha dan tanggungjawab kerajaan untuk membangunkan, meninggikan taraf hidup dan mengurangkan beban rakyat sehingga ke hari ini. Mungkin rakyat tidak sedar bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM20 bilion sebagai subsidi kepada rakyat Malaysia. Contohnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mengenakan caj kepada penggunaan di bawah RM20. Sebaliknya Kerajaan Selangor hanya bangga dengan air percuma sebanyak RM10 sebulan, itu sahaja. Apabila rakyat menikmati hasil daripada pengurusan kewangan dan pentadbiran negara di bawah BN menerusi program-program, bantuan yang disediakan, mereka bertindak mengelirukan rakyat.
Usaha BN membantu rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilihat apabila 100,000 keluarga seluruh negara daripada semua kaum dan berpendapatan rendah akan menikmati hasil daripada pendapatan pelaburan saham amanah di bawah Sara 1Malaysia. Di bawah skim berkenaan, kerajaan menanggung RM100 juta kos faedah bagi pinjaman RM5,000 yang berikan kepada setiap mereka yang layak bagi tempoh lima tahun. Hasil daripada pinjaman pelaburan itu, mereka yang layak akan menerima pulangan RM13,000 dalam tempoh lima tahun. Mereka juga tidak perlu tanggung kadar faedah daripada pinjaman, inilah bukti kerajaan untuk membantu dan mendahulukan rakyat.
Banyak lagi bantuan disediakan kerajaan seperti bantuan persekolahan RM100, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan sebagainya. Bantuan tersebut diberikan kepada semua kaum atas dasar prinsip Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Inilah pendirian pentadbiran di bawah BN yang melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat. Banyak lagi bantuan yang kerajaan berikan, tetapi rakyat tidak menyedarinya, seperti subsidi dan sebagainya. BN bukan seperti pembangkang yang bersifat seperti ‘ayam yang telur sebiji, riuh sekampung’!
Sumber:Sinar Harian
P/S: Wahai MB Selangor mana mau lari jawab jangan tak jawab jangan sampai tergagap hehehe
BILIK GERAKAN UDM TASEK JUNJONG, SUNGAI BAKAP DITUTUP!
5 bulan yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan