Khamis, 1 Mac 2012

Dakwah Jumaat: Sejarah Masjidil Al-Aqsa


Baitul-Muqaddis-bumi para anbiya’. Bumi ini telah menjadi saksi ketekunan dan keteguhan para mursalin dalam mendidik manusia mengenal hakikat Tauhid dan ajaran Islam. Bermula dengan penguasaan zuriat Nabi Ishak yakni Bani Israel, kemudiannya Raja Nebuchadnezzar dari Babylon, disusuli pula oleh pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, bumi anbiya’ ini telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu.

Akhirnya, pada tahun 638 Masihi, kekejaman dan ketidakadilan pemerintahan asing di bumi Baitul-Muqaddis ini telah ditamatkan oleh Khalifah Islam yang kedua, Umar Al-Khattab. Beliau bersama bala tentera kaum mukminin telah disambut oleh penduduk Baitul-Muqaddis sebagai pembela keadilan dan tentera pembebasan
Sebagai seorang Khalifah yang amat rendah diri dan sederhana, Khalifah Umar bersetuju dan memasuki kota suci ini secara berjalan kaki sahaja tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Suatu simbol Islam sebuah agama yang mencintai kedamaian dan keselamatan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Pembebasan Baitul-Muqaddis ini membuka satu era baru dalam lipatan sejarah Islam. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam.

Setelah memeterai perjanjian damai dengan penduduk Baitul-Muqaddis, Khalifah Umar terus bergerak menuju Haram Asy-Syarif, suatu kawasan seluas 35 ekar dan mendapatinya dipenuhi sampah-sarap.Beliau lantas menggunakan jubahnya untuk mengutip sampah-sarap tersebut dan perbuatan Umar ini diikuti oleh semua kaum muslimin sehinggalah seluruh kawasan Haram Asy-Syarif dibersihkan selayaknya sebagai tempat suci umat Islam.

Di tengah-tengah kawasan ini, tersergam batu di mana berpijaknya Nabi Junjungan sebelum ke langit dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj baginda. Di sudut paling selatan kawasan Haram Asy-Syarif ini, maka dibinalah sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kubah Kuning (Dome of the rock ). Ia juga dikenali sebagai Masjid Umar merupakan sebuah masjid kayu yang mampu memuatkan 3,000 pengunjung.

Namun demikian, suasana kegemilangan Islam di Baitul-Muqaddis berakhir pada kurun ke-11 apabila Pope Urban II mengisytiharkan Perang Salib yang pertama. Tindakan ini adalah sebagai reaksi terhadap polisi menghalang penziarah-penziarah Kristian memasuki Baitul-Muqaddis oleh pemerintah Islam Seljuk pada masa itu. Gerombolan Kristian Eropah ini bermusafir selama 3 tahun menuju Kota Suci Baitul-Muqaddis dan akhirnya mereka tiba di pintu gerbang kota suci ini pada tanggal 7 Jun 1099.

Setelah 5 minggu mengepung Baitul-Muqaddis, tentera Salib akhirnya berjaya menawan Baitul-Muqaddis dan tanpa belas kasihan membunuh seramai 40,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak kota suci ini.Pemerintahan tentera Salib tidak membawa kedamaian kepada penduduk kota suci ini. Kekejaman dan ketidakadilan menjadi lumrah di Baitul-Muqaddis sepanjang pemerintahan mereka baik kepada umat Islam mahupun penduduk bukan Islam.

Pada tahun 1187 Masihi (setelah 88 tahun dijajah tentera Salib) Panglima Sallahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk semula kota suci Islam ini dan sekali lagi Islam membuktikan ia bukan agama keganasan. Pembukaan kedua kota Baitul-Muqaddis ini tidak dicemari oleh sebarang pembunuhan rakyat biasa dan pilihan diberikan kepada penduduk kota ini, khususnya yang bukan Islam, samada ingin berhijrah ataupun terus menetap di Baitul-Muqaddis di bawah pemerintahan Islam dengan jaminan pemeliharaan nyawa, harta dan tempat ibadat mereka.

Namun begitu, , pada tahun 1948 umat Yahudi telah berjaya menubuhkan negara haram Israel dengan bantuan kuasa-kuasa Barat dan sejak itu bumi anbiya’ ini tidak pernah kenal erti keamanan. Sejak dari itu keangkuhan rejim Yahudi semakin menjadi-jadi

Pada tahun 1967, tentera Yahudi laknatullah telah berjaya mencerobohi Baitul Muqaddis Timur dan telah meratakan Maghribi Quarter. 2 masjid dan 135 rumah rakyat Palestin telah diruntuhkan meninggalkan 650 orang rakyat Palestin tanpa rumah kediaman.Seterusnya pada tahun 1969 seorang pelawat Yahudi Australia telah bertindak membakar Masjid Al-Aqsa yang memusnahkan mihrab yang dibina oleh Sallahuddin Al-Ayyubi . Tidak cukup dengan itu malah dengan bongkaknya Perdana Menteri Ariel Sharon memasuki kawasan Al-Quds pada tahun 2000 . Tindakan ini telah membakar api kemarahan umat Islam. seluruh dunia.

Disini jelas terbukti bahawa setiap kali bumi anbiya’ ini dipimpin oleh mereka yang teguh keimanannya kepada Allah, keamanan dan kedamaian pasti dikecapi oleh semua. Sesungguhnya Islam adalah agama yang membawa kepada keamanan dan kedamaian sejagat.Kesucian masjid suci ini harus dipelihara. Oleh itu umat Islam harus bangkit mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan maruah saudara-saudara seagama mereka dalam apa jua cara yang terdaya. Jangan dibiarkan maruah Islam dihina dan direndahkan.

P/S: Info untuk manfaat bersama

0 ulasan:

Catat Ulasan