Khamis, 10 November 2011

Eksklusif !!! Fakta yang boleh buat Fuziah reaktor hilang arah..


Sebelum ini isu mengenai Lynas telah pun di terangkan secara menyeluruh oleh blogger Pro BN secara teknikal dan komprehensif. KLIK SINI

Dipetik dari Utusan Online: KLIK SINI

Membetulkan maklumat 'menyesatkan'

Oleh Prof Dr. Ismail Bahari
Prof Dr. Ismail Bahari ialah pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri lebih 30 tahun.

TERLALU banyak maklumat salah yang boleh 'menyesatkan' pembaca yang saya dapati pada temu bual dengan seorang yang dikatakan sebagai 'pakar nuklear', seperti mana dilaporkan dalam akhbar terbitan parti pembangkang baru-baru ini.

Bukan tujuan untuk memperkecil-kecilkan kepakaran 'pakar nuklear' yang ditemu bual itu, tetapi untuk membetulkan daripada sudut fakta ilmiah semata-mata.

* Panel penasihat Agensi Tenaga dan Atom Antarabangsa (IAEA) yang membuat penyelidikan dan keputusan bagi projek Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan telah menyembunyikan maklumat tentang wujudnya bahan-bahan uranium dan thorium dalam projek tersebut.

Untuk penjelasan, panel IAEA ini adalah panel pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menaksir kesan dan risiko radiologi akibat pelaksanaan projek Lynas ini. Bermakna, mereka dipanggil untuk memberi pandangan bebas terhadap isu radionuklid semula jadi bahan-bahan uranium dan thorium.

Ini telah disebut dengan jelas dalam laporan panel pakar IAEA itu sendiri, agak pelik jika hal ini tidak disedari sekiranya laporan ini benar-benar dibaca dan difahami oleh 'pakar nuklear' berkenaan.

* Kadar bahan radioaktif dalam nadir bumi adalah rendah tetapi jumlah yang dibawa masuk besar.

Istilah tepat sepatutnya ialah kepekatan aktiviti bukan kadar bahan radioaktif. Jika kepekatan aktiviti radionuklid adalah rendah seperti diakui oleh 'pakar nuklear' itu sendiri, maka dosnya sudah pasti rendah.

Aras dos rendah kepada pekerja Lynas dan orang ramai sekitar kilang Lynas telah dilaporkan dalam Penaksiran Impak Radiologi (RIA) yang dibentangkan kepada pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Perlu ditekankan bahawa operasi Lynas tidak memekatkan kepekatan aktiviti thorium. Kepekatan aktiviti thorium dalam pekatan lantinid adalah sama dengan kepekatan aktiviti residu (iaitu sekitar 6 Bq g-1)

* Bahan buangan mengandungi uranium dan thorium dicampak ke dalam kawasan pembuangan seluas 48 hektar, kemudian menjadi pekatan yang menghasilkan gas radon selain habuk-habuk thorium dan uranium.

Sedangkan, 'bahan buangan' tidak dicampakkan ke dalam kawasan pembuangan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, disimpan sementara dalam sel yang direka dan dibina khas, selaras dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf selamat.

Kaedah kejuruteraan yang digunakan ini serta sifat fiziko-kimia uranium dan thorium itu sendiri akan memastikan tidak berlaku penyebaran gas radon/thoron serta habuk mengandungi uranium dan thorium yang memudaratkan manusia.

Perlu ditekankan bahawa RIA ke atas projek ini mendapati potensi penyebaran gas thoron adalah sangat kecil dan sukar diukur. Perlu ditekankan juga persekitaran semula jadi sendiri mempunyai uranium dan thorium yang masing-masing membebaskan gas radon dan thoron.

* Betapa bahan uranium yang terdapat dalam projek Lynas ini adalah sama dengan yang digunakan dalam loji nuklear Fukushima di Jepun.

Sedangkan, ini adalah maklumat yang sangat tidak lengkap, menyesatkan malahan berbahaya. Memang U-238 terkandung dalam bahan proses Lynas adalah sama jenisnya dengan yang digunakan dalam reaktor nuklear di Fukushima tetapi kepekatan yang terdapat pada kedua-duanya adalah berbeza ' ibarat langit dan bumi'.

Uranium semula jadi (seperti yag digunakan oleh Lynas) terdiri daripada 0.7 peratus (%) U-235 dan 99.3% U-238.

U-235 adalah bahan belahan dalam bahan api nuklear yang sangat penting untuk memulakan tindak balas nuklear. Dalam bahan api nuklear kepekatan U-235 diperkaya menjadi 5%.

Dalam reaktor nuklear Fukushima yang menggunakan bahan api MOX atau campuran bahan belahan oksida, U-235 tidak digunakan dalam bahan api nuklear tetapi digantikan dengan Plutonium-239 (radionuklid ini tidak terdapat secara semula jadi dalam alam sekitar dan tidak ada dalam bahan pekatan yang digunakan Lynas).

Sepekara lagi, uranium bukan hanya ada dalam bahan api nuklear dan pekatan lanthanid Lynas (28 ppm) sahaja tetapi wujud dalam baja (boleh mencapai 400 ppm) dan arang batu (> 100 ppm).

Secara anologi, 'pakar nuklear' berkenaan seolah-olah menyatakan bahawa tanah di Pahang atau keseluruhan Malaysia mempunyai persamaan dengan reaktor nuklear di Fukushima hanya kerana ia mempunyai bahan uranium yang sama.

* Bahan buangan Lynas boleh mencemarkan air dan alam sekitar.

Sedangkan, hasil kajian RIA mendapati bahan buangan Lynas tidak mencemarkan air dalam alam sekitar. Sama seperti kilang-kilang lain di Kawasan Perindustrian Gebeng, setiap pelepasan kilang ke persekitaran hendaklah mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan AELB.

* Gas radon akan terbebas ke udara. Partikel alfa yang dihidu juga boleh merosakkan sel tubuh dan kromosom manusia.

Sedangkan, maklumat ini tidak lengkap dan sekali lagi menyesatkan. Memang benar gas radon dihasilkan tetapi 'pakar nuklear' tersebut tidak pula menyatakan bahawa gas radon daripada thorium (lebih tepat disebut thoron) mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, cuma 56 saat.

Ini bermakna dalam masa 56 saat gas thoron terbentuk dan dibebaskan ke udara, ia akan segera menyepai menjadi radionuklid pepejal yang jatuh ke bumi serta tidak membahayakan. Dengan kepekatan aktiviti yang kecil, kemungkinan thoron dihidu dan memudaratkan adalah sangat tipis.

Pakar Nuklear ini lupa atau sengaja lupa menyatakan bahawa risiko dikawal dengan Had Dos. Selagi Had Dos tidak dilampaui, risikonya boleh diterima. Had Dos ini digunakan kerana kita perlu ingat bahawa kita sentiasa terdedah kepada uranium dan thorium semula jadi.

Selagi ada uranium dan thorium, selagi itu kita terdedah kepada radon, thoron dan zarah alfa. Pendek kata kita tidak boleh kata kita tidak hendak didedahkan kepada radon, thoron atau zarah alfa atau sinaran sebab kesemua ini berada di mana-mana sahaja di muka bumi ini.

Sebaliknya, berdasarkan kepekatan aktiviti Th-232 yang ada dalam bahan mentah dan residu pemprosesan Lynas, serta sifat fizik gas thoron itu sendiri telah ditentukan secara saintifik tidak mampu mencemarkan alam sekitar sehingga ke tahap dikatakan berbahaya kepada manusia yang menghidunya.

* Pelan pelupusan sisa adalah tidak lengkap.

Sedangkan, sebagai ' pakar nuklear', beliau tentu tahu bahawa pelan pelupusan sisa bukan setakat melupus sisa dengan menanam, tetapi turut merangkumi penggunaan semula sisa tersebut dengan selamat. Dengan cara ini, isu pelupusan kekal mungkin tidak diperlukan.

Jika perlu dilupuskan, Lynas pula sudah mereka bentuk dan membina tapak pelupusan sementara yang mematuhi segala syarat dan kriteria pembinaan tapak pelupusan kekal (sungguhpun bukan matlamatnya untuk menjadikan tapak tersebut sebagai tapak pelupusan sisa kekal).

* "Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menolak industri ini kerana tidak ada level radiasi yang selamat".

Sebagai seorang pendidik dan penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri selama lebih 30 tahun (dan masih berkhidmat dengan selamat), saya amat terkejut dengan kesimpulan yang dibuat oleh 'pakar nuklear' itu.

Sama ada disedari atau tidak, beliau sebenarnya menyatakan bahawa kita boleh hidup dalam dunia yang bebas daripada dedahan sinaran atau radiasi. Bukan pakar nuklear pun tahu, ini tidak benar sama sekali. Sama ada kita hendak atau tidak, kita sentiasa terdedah kepada sinaran dari bumi dan matahari.

Malah terdapat beberapa tempat di negara kita yang mempunyai aras sinaran semula jadi yang lebih tinggi daripada aras purata tanah- tanih Malaysia. Sila rujuk hasil kajian aras sinaran di kawasan lombong bijih timah di Perak, Selangor dan Pantai Pasir Hitam di Langkawi.

Begitu juga, cuba lihat di Ramsar, Iran; Kerala, India; Grand Junction, Colorado, Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang disahkan mempunyai aras sinaran semula jadi yang jauh lebih tinggi daripada apa yang bakal dibebaskan oleh Lynas.

Persoalannya, adakah penduduk di tempat-tempat tersebut semua cacat dan terencat? Malah, kajian ke atas penduduk di Ramsar, Iran mendapati penduduk di sana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada rakyat Iran di tempat-tempat lain.

Rujuklah dokumen ilmiah sebelum membuat pernyataan tidak tepat, salah dan mampu menyesatkan. 'Pakar nuklear' tersebut pernah belajar dan memperolehi ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Nuklear dan Fizik di Amerika Syarikat. Tidakkah beliau terdedah kepada sinaran semasa pengajiannya?

Tentulah ada. Maka, adakah beliau atau keluarga beliau mengalami apa-apa kecacatan akibat dedahan sinaran tidak kira rendah mana pun tahapnya?

Pakar Nuklear sepatutnya mendidik masyarakat tentang fakta sebenar sinaran dan kesannya, dan tidak menyesatkan masyarakat dengan maklumat yang tidak lengkap dan salah.


P/S: Berlawan dengan fakta bukan auta..

0 ulasan:

Catat Ulasan