Khamis, 16 Ogos 2012

PELAJAR IPT DINASIHATKAN BERHATI-HATI KETIKA KELUAR BERSEORANGAN


SHAH ALAM - Seorang kelindan lori yang mengalami kecederaan akibat ditembak polis, dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan melarikan secara paksa dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan merogol seorang daripada mereka, Jun lalu.

Anuar Mohamad, 34, dari Taman Alam Megah di sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tiga pertuduhan berkaitan.

Di Mahkamah Sesyen, Anuar didakwa merogol mangsa berumur 18 tahun di sebuah rumah di Lot 3862, Jalan Haji Tarmidi, Rantau Panjang, Klang dekat sini, antara jam 1.20 pagi dan 6 pagi, 25 Jun lalu.

Tertuduh, yang hanya duduk di kerusi sepanjang prosiding berikutan kecederaan dialaminya, didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R Kalaiyarasi yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas alasan ketika ditangkap, polis terpaksa menembak tertuduh kerana dia cuba melarikan diri.

Anuar yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin atas alasan dia tidak terbabit dalam kejadian itu.

Hakim Slamat Yahya bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melarikan secara paksa mangsa yang sama dan seorang lagi pelajar IPT berumur 23 tahun dengan niat untuk menyebabkan kedua-dua mangsa dikurung secara rahsia dan salah.

Anuar didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa berusia 18 tahun di tepi jalan bawah blok asrama bangunan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Seksyen 3 di sini antara jam 1.20 pagi dan 6 pagi, 25 Jun lalu.

Perbuatan terhadap mangsa berusia 23 tahun pula didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran perhentian bas sebelah Universiti Selangor (Unisel), Seksyen 7 di sini pada jam 11 malam, 30 Jun lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Anuar didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Majistret Zilfinaz Abas juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Md Nor. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan