Khamis, 21 Jun 2012

TAZKIRAH JUMAAT, HARGAI JASA IBU BAPA YANG MEMBESARKAN ANDA


Seorang bapa yang hidup dalam gelandangan selepas kematian isteri walaupun mempunyai anak-anak yang telah berjaya

KULIM - Akibat kematian isteri, seorang warga emas sanggup menjadikan kaki lima di sekitar pekan Kulim di sini sebagai tempat tinggalnya dan hidup dalam gelandangan sejak beberapa tahun yang lalu.

Warga emas berkenaan yang hanya mahu dikenali Tan, 60, berkata, ketika mendiang isterinya masih hidup, dia menjalani kehidupan sempurna walaupun tanpa bantuan anak-anak.

Menurutnya, sebelum ini, setiap hari dia akan mencari sayur selain memancing ikan di sekitar sungai di Kulim tetapi setelah kematian isteri, kehidupannya mula berubah. "Apabila malam, saya akan berhenti di hadapan kedai yang  mempunyai lampu terang untuk berehat dan tidur sementara menunggu pagi.

“Saya ada anak. Masa kecil saya yang beli mereka makanan, hantar mereka ke sekolah naik basikal. Masa itu, hati seronok tengok anak-anak pandai. Bila tak ada duit, saya beli mi tiga bungkus bagi mereka makan," katanya.

Tan berkata, pernah satu ketika dia terpaksa mencuri ubat di sebuah klinik kerana keadaan anaknya yang sakit. Katanya, ketiadaan duit menyebabkannya melakukan tindakan demikian walaupun mengetahui ianya salah di sisi undang- undang.

"Pernah satu hari anak sakit, saya bawa anak pergi klinik. Bila nak ambil ubat, saya tak ada duit. Saya dukung anak dan larikan ubat itu. "Beberapa hari kemudian, saya berjumpa doktor di klinik dan meminta maaf. Bagaimanapun  doktor yang juga pemilik klinik itu hanya meminta saya membasuh keretanya sebagai bayaran terhadap ubat diambil," katanya.

Menurutnya, walaupun sedih kerana kehilangan isteri tetapi dia gembira melihat kejayaan anak-anak namun malangnya tidak seorang pun anaknya yang mahu mengambilnya tinggal bersama mereka.

“Saya dan isteri sudah jalankan kewajipan sebagai ibu dan bapa. Walaupun sekarang saya seorang pengemis tetapi saya bangga kerana semua anak sudah berjaya dan hidup senang. "Cuma kadang-kadang saya sedih bila tengok  orang lain sudah tua, ada anak jaga tapi saya tak ada. Ini semua sudah suratan,” katanya. SH
Ibu bapa lah yang menjaga dari kecil hingga anda berjaya. Perlu diingat hidup ini umpama roda jangan fikir kita sentiasa diatas kerana apa yang berlaku pada ibu bapa anda mungkin satu hari akan berlaku pada anda juga

P/S: Fikir-fikirkan lah dan Selamat Beramal Salam Jumaat yang mulia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan