Khamis, 27 Oktober 2011
Panas !!! JAIS & DUMC: Lain Yang Cuai, Lain Yang Dipersalahkan.
Kelakar sungguh saya lihat apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Damansara Utama Methodist Church (DUMC), kedua-dua belah pihak, biar dari BN, mahupun PR, sibuk menunding jari dan menyalahkan satu sama lain. Sudah adat politik untuk menjadi juara setiap isu.
Banyak individu menyalahkan Barisan Nasional, terutamanya UMNO apabila kejadian ini berlaku, sedangkan hal ehwal agama Islam terletak di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Ini boleh dilihat di dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, Perkara Pertama di dalam Senarai Negeri. Jadi hal ini sememangnya didalam kawalan penuh Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat, dengan Dr. Hasan Ali, melalui portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, bertanggung jawab memantau pentadbiran dan penguatkuasaan JAIS.
Pada 3 Ogos 2011, JAIS telah menjalankan operasi di DUMC, JAIS memanggilnya pemeriksaan, DUMC memanggilnya pencerobohanan, penghinaan dan sebagainya. Agak pelik melihat reaksi DUMC yang menganggap sebuah pemeriksaan biasa sebagai "sacrilegious", atau penghinaan kepada golongan Kristian sedangkan ianya hanyalah makan malam muhibbah dan bukannya aktiviti keagamaan.
Seperti mana yang ditegaskan oleh pihak DUMC, ianya hanyalah sebuah makan malam, seperti apa yang dipetik dari Tan Sri Zaman Khan, Pengerusi Malaysian AIDS Council yang jelas mengatakan ianya sebuah majlis makan malam untuk memungut dana bagi 'Harapan Komuniti', sebuah entiti yang membantu rakyat Malaysia yang dijangkiti HIV. Menurut beliau, majlis itu hanyalah '1Malaysia Muhibbah Fundraising Dinner'.
Pastor Daniel Ho, dalam satu petikan dalam Free Malaysia Today, 12 Ogos 2011, mengatakan majlis itu sebagai majlis makan malam "thanksgiving". Beliau juga berkata, JAIS mencerobohi majlis di dalam sebuah dewan di Dream Center, yang turut mengandungi sebuah gereja, yakni DUMC. Jadi, JAIS ceroboh sebuah dewan makan malam atau sebuah gereja yang sedang berlangsung majlis keagamaan? Kenapa kenyataan Pastor Daniel Ho dan Tan Sri Zaman Khan bercanggah?
Kemudian, tersebar pula video di Youtube yag menunjukkan rakaman operasi pada malam tersebut, lihat video ini. Kenapa pula sebuah majlis amal, atau majlis makan malam, mahupun majlis "thanksgiving" perlu disajikan dengan pengakuan murtad seseorang? dan bukannya ucapan berkaitan pencegahan AIDS atau apa-apa aktiviti yang bertepatan dengan majlis makan malam mengumpul dana?
Jadi, siapa yang bercakap benar? Kalaulah ada kenduri di masjid, dan polis datang membuat pemeriksaan, adakah ianya satu penghinaan kepada Islam? Tidak! Polis hnaya menjalankan tugas dan tiada masalah kalau kita memberikan kerjasama. Jadi kenapa ramai yang melatah dalam isu ini? Ada yang ditembak? Kedatangan JAIS pada sebuah majlis makan malam bukanlah sesuatu yang menjurus kepada sekatan kepada kebebasan beragama. Lagipun ianya majlis makan.
Rentetan kemelut ini, Dr. Hasan Ali, membela tindakkan JAIS, telah dipanggil oleh PAS untuk memberikan penjelasan beliau. PAS juga telah meminta sebuah pertemuan diatur antara JAIS dan DUMC, dengan Mat Sabu mengetuai inisiatif tersebut. Malang sekali tidak ada pihak yang pakar dalam undang-undang yang ingin mengulas kesahihan tindakan PAS Pusat memanggil JAIS, sebuah agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi penjelasan. Adakah ini wajar menurut undang-undang pentadbiran? Pada hemat saya, JAIS hanya bertanggung jawab kepada Sultan Selangor, Menteri Besar Selangor, Exco berkenaan dan Dewan Undangan Negeri Selangor sahaja. Musykil sungguh saya lihat campur tangan PAS dalam pentadbiran negeri. Mereka dilihat seperti tidak mempercayai Dr. Hasan Ali, ahli parti mereka sendiri.
Surat Khabar The Star, dalam artikelnya berjudul "Selangor MB: Full Jais report expected end September" telah menjanjikan laporan tersebut akan dikeluarkan pada akhir September setelah keterangan diambil dari pihak-pihak yang terlibat.
Tiba waktu dan ketika dijanjikan, dimana laporan tersebut telah diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim beliau menjanjikan makluman berkaitan kes ini akan dibuat beliau selepas lawatan Yang Di Pertuan Agong. Nampaknya seperti Kerajaan Negeri cuba elak dari menguruskan isu ini sendiri dengan meminta campur tangan istana melalui meminta campur tangan Sultan dalam isu ini. Saya berpendapat sedimikian kerana, isu ini sangat tidak popular, dan Kerajaan Negeri akan kehilangan undi pelbagai pihak jika hal ini tidak di atasi dengan baik. Menteri Besar dan Exco perlu melalui pilihanraya, DYMM Sultan Selangor tidak. Ini laluan paling selamat.
Ianya sangat pelik, memandang pada 1 April 2011, Dewan Undangan Negeri Selangor telah meluluskan "Freedom of Information Enactmen 2010", sebuah rang undang-undang yang memberi kebebasan untuk mendapatkan maklumat dari kerajaan negeri. Ini adalah sebahagian dari janji Pakatan Rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang telus. Kenapa tiada sesiapa memohon Kerajaan Negeri mendedahkan laporan JAIS sepertimana diperuntukkan oleh enakmen ini? Tak sampai setahun, kenapa sudah dilupakan kewujudan dan tujuan enakmen ini?
Apabila DYMM Sultan Selangor memberikan titahnya berkaitan isu ini, institusi beraja telah pun dilibatkan dalam kancah percaturan politik Selangor. Baginda terpaksa menjadi penentu. Mana-mana penentu, atau hakim, akan mempunyai pengkritik dalam keputusan yang dibuat. Baginda Tuanku nampaknya tidak terkecuali.
Saya sependapat dengan Professor Aziz Bari, yang mengatakan titah Sulttan sebagai "luar biasa" kerana Baginda seharusnya menjadi pihak yang berkecuali. Tetapi siapakah yang harus dipersalahkan? Mana perginya Kerajaan yang dilantik oleh rakyat dalam PRU12 lalu? Kenapa diam? Adakah Pakatan Rakyat hanya gemar menjuarai isu yang popular sahaja? Mana perginya amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan?
Berdasarkan keratan laporan diatas, Pengerusi Christian Federation of Malaysia, Bishop Ng Moon Hing memohon campur tangan Baginda dalam hal ini. Sayang sekali Professor Abdul Aziz Bari tidak sempat menasihati Bishop Ng Moon Hing yang permintaan beliau tidak sesuai dalam konsep negara perlembagaan.
Antara isu yang bermain didalam isu ini ialah;
1. Mengapakah Kerajaan Selangor gagal mengawal agensi penguatkuasaannya (JAIS) dengan efektif?
2. Jika JAIS melakukan kesalahan, memandangkan Menteri Besar sudah pun memohon maaf, apakah tindakan selanjutnya? Mengapakah Kerajaan Selangor tidak membayar pampasan dan ganti rugi kepada DUMC?
3. Kenapa Menteri Besar tidak menyelesaikan isu ini sendiri tanpa melibatkan Sultan Selangor? Bayangkan jika Perdana Menteri meminta campurtangan Yang Di Pertuan Agong untuk setiap kes murtad seperti Lina Joy, ataupun apabila rumah-rumah ibadat yang dibina secara haram diruntuhkan. Apa reaksi Pakatan Rakyat?
4. Kenapa enakmen "Freedom of Information" 2010 Selangor tidak digunapakai supaya orang awam boleh melihat sendiri laporan JAIS. Apa yang cuba disembunyikan? Mana perginya Akauntabiliti, Ketelusan yang diperjuangkan?
Jangan salahkan Professor Abdul Aziz Bari yang hanya memberikan pendapat, atau Sultan Selangor yang hanya bertindak mengikut seruan rakyat seperti Bishop Ng Moon Hing dan nasihat serta permintaan Menteri Besarnya. Sudah jelas siapa patut bertanggung jawab dalam isu ini.
Akhir cerita, BN/UMNO juga dipersalahkan. Ada sesiapa yang bakal dipecat untuk kecuaian ini? Hmm..
P/S: Credit to Nasri 1986....
Pergh... power la tulisan. Sendiri tulis ek?
BalasPadamHasil penulisan seorang rakan tolong sebar je. Informasi berguna elok kita sebarkan
BalasPadamKalau ye pun nak sebar jangan lupa letak dari mana ia datang ;)
BalasPadam