Isnin, 10 Oktober 2011
Defisit makin meningkat aset makin kurang
Khalid Ibrahim, Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Selangor dan Pakatan Rakyat membangga-banggakan diri tentang ‘kejayaan’ menambahkan simpanan tunai Selangor dengan jumlah terbanyak sepanjang 28 tahun. ‘Kejayaan’ tersebut digambarkan sebagai kesempurnaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.
Bagaimanapun, jumlah RM1.8 bilion itu sebenarnya benar-benar meragukan. Apakan tidak, dalam tempoh tidak sampai tiga tahun pentadbiran, Pakatan Rakyat telah menjual dan menghapuskan aset-aset termasuklah yang dimiliki oleh PKNS, Yayasan Selangor, Yayasan Basmi Kemiskinan selain perlombongan pasir secara berleluasa.
Secara mudah, sepanjang UMNO-BN mentadbir Selangor, aset-aset dikumpulkan dan digunakan secara berhemah untuk jangka panjang, sedangkan pada zaman Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, aset-aset seperti bangunan dan tanah dijual dilupuskan demi mendapatkan wang tunai.
Kalau itulah yang dibangga-banggakan oleh Pakatan Rakyat di Selangor, rasa-rasanya mereka adalah pentadbir negeri yang paling bangang sepanjang Selangor merdeka bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1957.
Mungkin Pakatan Rakyat memikirkan rakyat Selangor adalah kelompok bodoh yang boleh digula-gulakan dengan lambakan wang tunai tanpa mengambil kira pandangan sebaliknya yang membandingkan wang tunai itu dengan aset-aset yang telah dihilangkan oleh Pakatan Rakyat. Apatah lagi, perlupusan aset-aset tersebut turut membabitkan golongan miskin seperti Yayasan Basmi Kemiskinan dan Yayasan Selangor yang kehilangan banyak bangunan serta tanah mereka di tangan Pakatan Rakyat.
Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim sebenarnya banyak menipu rakyat Selangor, khususnya yang membabitkan pelaburan dari luar. Rombongan perdagangan kerajaan Selangor ke China kononnya untuk menarik pelabur dari Negara Tembok Besar itu, merupakan rombongan yang serba dan paling melawakkan.
Apakan tidak, pada ketika China menyediakan tenaga kerja yang banyak, upah dan gaji yang jauh lebih murah, selain barangan mentah yang tidak sukar diperolehi, anggota-anggota kerajaan negeri pula bergurau tentang penarikan pelaburan dari negara tersebut ke China.
Semenjak kerja-kerja menarik pelaburan dari China, berapa banyakkah pelaburan dari negara itu yang sudah masuk ke Selangor? Setelah ditolak pelaburan yang dibawa masuk oleh agensi kerajaan pusat, berapa banyak pula baki pelaburan yang benar-benar hasil usaha kerajaan Pakatan Rakyat Selangor?
Tidak dinafikan, Selangor menduduki tangga tertinggi menerima pelaburan luar di negara ini. Data itulah yang kerapkali dibangga-banggakan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat namun pada masa yang sama, mereka tidak pernah pula menceritakan ‘kejayaan’ sebenar Pakatan Rakyat menarik pelaburan ke negeri ini, sebaliknya sekadar berbangga dengan hasil kerja agensi Kerajaan Pusat.
Pakatan Rakyat menerima Selangor dalam keadaan negeri ini sudah pun maju dan mempunyai prasarana yang lengkap dan baik untuk iklim pelaburan. Insentif yang disediakan untuk para pelabur asing, telah lama diperkenalkan oleh kerajaan negeri yang terdahulu. Dan dasar itu jugalah yang masih diterima pakai oleh kerajaan sekarang tanpa sedikit pun penambahbaikan biarpun pada masa yang sama, mereka mendabik dada kononnya Pakatan Rakyat lebih baik berbanding kerajaan UMNO-BN.
Mungkin Khalid Ibrahim sedar, prestasi kerajaannya sekarang sedang diperhatikan dan dibandingkan dengan kerajaan terdahulu. Untuk membuktikan bahawa mereka lebih baik dari kerajaan UMNO-BN, maka penjualan dan pencairan aset pelbagai agensi kerajaan negeri dibuat dengan harapan, rakyat Selangor tidak lagi mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Pakatan Rakyat kurang berdaya saing dan tidak mampu membangunkan Selangor kecuali menghabiskan serta menjahanamkan harta-harta yang dimiliki oleh Selangor dengan ‘kehadiran’ wang tunai yang banyak dalam akaun negeri.
Kebanggaan tentang simpanan wang tunai Selangor yang baru dan berbangga-bangga dengan ‘kejayaan’ kecil itu, sebenarnya hanya membuka lebih banyak pekung Pakatan Rakyat di Selangor. Sebabnya sangat mudah, kecenderungan Pakatan Rakyat Selangor untuk berbohong sangat tinggi. Apatah lagi, cakap-cakap besar Pakatan Rakyat sudah terbukti berkali-kali sebagai tong kosong semata-mata tanpa sebarang hasil yang benar-benar meyakinkan dan tulen!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan