Jumaat, 6 Mei 2011

DAP Tokey Besar Pakatan??


Dominasi DAP dalam kabinet bayangan di Sarawak adalah bukti betapa DAP adalah parti yang paling mendapat laba hasil dari pakatan pembangkang yang diwujudkan.

“Maka dengan jelas inilah bukti bahawa status Pas dan PKR hanyalah sekadar menjadi kuda tunggangan DAP”, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Suffian Awang.

Menurut beliau perkara tersebut bukanlah pelik kerana contoh sudah ada hari ini yang mana di beberapa negeri di bawah penguasaan pakatan pembangkang, DAP menjadi “towkey besar” manakala Pas dan PKR adalah budak suruhan.

“Kita sedikit pun tidak terkejut dengan pembentukan kabinet bayangan yang didominasi oleh wakil DAP itu. Alasan mungkin realistik kerana mereka menang banyak berbanding Pas dan PKR.

“Sebab itulah DAP ada lesen besar mendominasi kabinet bayangan tersebut manakala Pas pula mungkin terhegeh-hegeh untuk dilantik ke kabinet bayangan berkenaan. Apa pun alasan yang diberikan, amat jelas DAP memperkudakan PKR dan memperalatkan Pas,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentukan Kabinet bayangan pembangkang di Sarawak yang didominasi DAP.

Pembentukan Kabinet bayangan yang mengandungi 15 portfolio itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mendominasi 12 daripadanya dengan Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Sementara itu, PKR yang pernah mencanangkan Pengerusinya, Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri hanya mempunyai tiga wakil dengan salah satunya perlu berkongsi portfolio dengan seorang wakil daripada Pas.

Suffian yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuantan seterusnya mempersoalkan jika di Sarawak pembangkang boleh membentuk kabinet bayangan, kenapakah di semenanjung ini mereka tidak mengambil pendekatan yang sama untuk membentuk kabinet bayangan di Parlimen.

Soal beliau lagi bukankah dengan adanya kabinet bayangan tersebut, mereka yang kononnya sebagai parti yang telus dapat mengimbangi kerajaan yang ada hari ini dari pelbagai sudut termasuk soal perancangan mahu pun pelaksanaan.

“Di Sarawak bukan main laju bentuk kabinet bayangan…tetapi di Parlimen sunyi sepi. Mungkin ada sesuatu yang menghalang mereka untuk berbuat demikian.

“Jika berani, ambilllah pendekatan yang sama. Kita pun nak tahu siapa Perdana Menteri bayangan, siapa Timbalan Perdana Menteri bayangan dan menteri-menteri kabinet bayangan mereka yang lain,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan