Isnin, 14 Februari 2011

Sematkan Roh Pertahankan Agama

Setiap individu yang lahir di Negara ini perlu memahami bahawa Malaysia sebuah Negara Islam yang memberi hak dan kedudukan kepada pelbagai kaum tanpa mengorbankan kedaulatan dan hak warisan yang diwartakan untuk orang Melayu yang telah dipersetujui semua pemimpin kaum semasa Tanah Melayu diserahkan oleh British kepada kepimpinan tempatan.

            Sehubungan itu, setiap warga Negara ini perlu mengenali sejarah dan keturunan mereka dan menyedari sejauh manakah mereka perlu bersuara dan bertindak demi memenuhi hasrat dan bisikan hati mereka.

Hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu hak-hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan sebenarnya telah terkunci kemasdan tidak boleh dipertikaikan lagi.

            Perlu juga diingat, ia tidak boleh dipinda dengan sewenang-wenangnya tanpa persetujuan daripada Sembilan Raja-Raja Melayu Persekutuan. Maka janganlah mereka ini memperdagangkan asas-asas Perlembagaan demi kepentingan kaum dan kuasa masing-masing.

            Hak-hak orang Melayu ini wajar dipertahankan tanpa diganggu gugat dan ia kekal menjadi milik hakiki orang Melayu untuk selamanya. Roh perjuangan inilah yang perlu disemat dalam dada setiap orang Melayu yang sayangkan agama dan bangsa mereka dari lenyap begitu sahaja.

            Mengapakah ada orang Melayu sendiri yang meremehkan dan bersikap pasif untuk perjuangan yang murni ini?

            Mereka ini telah berada di zon selesa yang hidup senang dan tidak perlu bersusah payah lagi untuk memikirkan agama dan bangsanya. Menganggap ia bukan tugas mereka, sebaliknya tugas orang lain. Mereka ini lebih mementingkan dan menjaga periuk nasi sendiri dan tidak peduli apa akan terjadi kepada agama dan bangsanya, walaupun telah dicabar dengan hebat sekali.

            Setiap orang Melayu wajar mempunyai roh dan semangat perjuangan kental seperti semangat orang Melayu menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah British dahulu yang berlandaskan semangat perjuangan menuntut apa yang belum dapat dan semangat perjuangan mengekalkan apa yang telah dapat.

            Ingatlah, apabila kita lupa dan alpa kepada asas-asas perjuangan, maka sebenarnya kita merintis jalan kearah merungkai teras kewujudan kita sebagai bangsa yang berdaulat dan dominan di tanah airnya sendiri. Yakinlah, apabila muncul yang hak, maka lenyaplah yang batil. Jangan kita jadikan hidup yang selesa kini melalaikan dan melemahkan asas-asas perjuangan terhadap agama dan bangsa kita.

            Orang Melayu yang bertopengkan politik dan agama untuk mengejar kuasa dan kedudukan semata-mata perlu insaf dan bermuhasabah diri. Jangan korbankan maruah agama dan hak-hak bangsa Melayu yang menjadi warisan anak cucu kita.

            Jangan biarkan diri ditunggangi oleh mereka yang ada agenda tersembunyi yang bermatlamat untuk meminggirkan orang Melayu di buminya sendiri. Jangan jadikan cita-cita untuk menawan Putrajaya yang belum tentu kepastiannya, merobek maruah dan kedaulatan agama dan bangsanya sendiri!

            Setiap orang Melayu kembalilah ke pangkal jalan. Mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, pertahankan apa yang dimiliki kini agar kekal selamanya. Renunglah nasib bangsa Melayu di Singapura yang maruah dan kedaulatannya kini tinggal nostalgia sahaja. Fikirkanlah nasib orang Melayu yang semakin terhimpit di Pulau Pinang.

            Semua orang Melayu yang cintakan agama dan bangsanya wajar renung, fikir dan bermuhasabah diri dengan peristiwa-peristiwa yang menimpa orang Melayu dahulu dan kini untuk dijadikan pengajaran berguna terutamanya peristiwa hilangnya kuasa dan maruah Melayu di Singapura.

            Sejarah mungkin berulang! Ingatlah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.


Sumber: Sinar Harian Isnin 15 November 2010



Credit: ApeApe Ajelar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan